Header & Footer

News & Highlights

PR1MA JALANKAN SESI LIBAT URUS BERSAMA PEMBELI SEBAGAI LANGKAH TAMBAHAN UNTUK BERI PENJELASAN BERKAITAN STATUS PEMBINAAN

25 MARCH 2021

PETALING JAYA, Pihak Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) ingin memaklumkan bahawa sesi libat urus bersama pembeli-pembeli melibatkan beberapa projek untuk menjelaskan status dan kemajuan terkini pembinaan kediaman mereka akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Butiran lanjut seperti tarikh dan masa berkaitan lokasi libat urus bagi setiap projek akan dimaklumkan dengan kadar yang segera dan jemputan kepada wakil pembeli akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sesi libat urus bersama pembeli merupakan antara platform bagi memberi penjelasan dan berbincang secara dua hala untuk mendapatkan maklum balas pembeli berkaitan perkembangan projek pembinaan rumah mereka.

Pada masa yang sama, pihak PR1MA juga ingin memaklumkan kepada pembeli bahawa perkembangan dan status terkini berkaitan pembinaan projek kediaman mereka dimaklumkan menerusi e-mel dari masa ke semasa. Maklumat ini juga sentiasa dikemaskini di laman sesawang rasmi PR1MA. Proses libat urus ini merupakan langkah tambahan yang diambil untuk memastikan pembeli mendapat maklumat secara bersemuka dengan pihak PR1MA.

Untuk makluman, pihak PR1MA telah menjalankan sesi libat urus bersama wakil pembeli Residensi Tebrau, Johor Bahru pada 15 Mac lalu yang dihadiri oleh 10 orang pembeli yang merupakan wakil dari setiap blok. Ini merupakan sesi libat urus kedua rentetan daripada perjumpaan pertama pada 10 Februari 2021. Namun, perjumpaan ini hanya melibatkan empat wakil pembeli disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada masa tersebut.

Pada sesi libat urus tersebut, pihak PR1MA telah menjelaskan situasi yang berlaku dan menyatakan bahawa milikan kosong (VP) akan diserahkan selewat-lewatnya pada 30 April 2021.

Pihak kami mengambil maklum kegusaran para pembeli dan akan cuba sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian untuk isu-isu yang dibangkitkan.

Segala maklumat terkini berkaitan projek dan status pembinaan projek-projek PR1MA dapat diakses oleh pembeli di laman sesawang PR1MA di https://www.pr1ma.my/ di bawah segmen 'property' dan 'project status'.

Sekiranya pihak tuan/puan mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi kami di 03-76289898 atau e-mel ke info@pr1ma.my. Waktu operasi kami: Isnin hingga Ahad 9.00 pagi hingga 6.00 petang (kecuali Cuti Umum di Negeri Selangor).

-Tamat-