SUNGAI PETANI, 18 Oktober 2015 – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan jayanya telah menganjurkan Ekspo Rumah PR1MA yang berlangsung selama tiga hari di Kedah dengan sambutan meriah lebih 10,000 pengunjung rakyat Kedah.
Secara keseluruhannya, 3 sesi cabutan undi untuk 3 projek PR1MA telah dijalankan di Ekspo Rumah PR1MA @ Kedah ini. Di sesi pertama, iaitu pada hari pertama Ekspo PR1MA, seramai 481 pemohon telah berjaya diundi bagi projek PR1MA @ Sungai Petani 1, di mana YAB Dato’ Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah sendiri telah memulakan cabutan undi bagi sesi tersebut.
Pada hari kedua Ekspo PR1MA, seramai 1,395 pemohon lagi telah berjaya diundi bagi projek PR1MA @ Sungai Petani 2, di mana YB Senator Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md Hanipah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah memulakan cabutan undi bagi sesi tersebut manakala sebanyak 244 jumlah kediaman PR1MA @ Padang Meha yang telah berjaya diundi pada hari terakhir eskpo.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Dato’ Abdul Mutalib Alias berkata "Kami berasa gembira dengan sambutan yang amat menggalakkan dari rakyat Kedah sepanjang tiga hari ekspo ini dijalankan. Ekspo ini adalah penting bagi kami dalam memberi pendedahan dan informasi yang lebih terperinci tentang produk-produk serta perkhidmatan-perkhidmatan yang kami sediakan untuk manfaat ramai terutamanya yang berpendapatan pertengahan.”
Bagi kemas kini projek perumahan PR1MA di seluruh negara, PR1MA telah mencapai kemajuan yang memuaskan di mana Lembaga Pengarah PR1MA atau Anggota Perbadanan PR1MA (Members of Corporation PR1MA) telah pun meluluskan sebanyak 199,172 unit rumah PR1MA untuk dibina. Daripada jumlah keseluruhan unit ini, sebanyak 20,129 unit adalah di Kedah dimana 10,896 unit telah pun dalam pelbagai peringkat proses pembinaan.
Setakat ini, lebih 1.05 juta pendaftar telah berdaftar di bawah Sistem Pendaftaran Nasional. Penduduk Kedah yang memenuhi kriteria PR1MA yang masih belum mendaftar diseru untuk mendaftar dan merebut peluang ini melalui laman web PR1MA di www.pr1ma.my.
Ekspo Rumah PR1MA akan meneruskan penjelajahan ke Melaka pula pada 30 Oktober sehingga 1 November 2015, di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka, Malacca International Trade Centre (MITC) yang terletak di Ayer Keroh, Melaka.
Seterusnya, PR1MA juga ingin memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 17 lagi projek PR1MA di seluruh negara yang merangkumi 14,094 unit yang akan dibuka untuk permohonan, dimana tarikh pembukaan permohonan akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini.
Projek-projek yang akan dibuka kelak termasuklah:-
1. PR1MA @ Rantau, Negeri Sembilan – 300 unit
2. PR1MA @ Port Dickson, Negeri Sembilan – 659 unit
3. PR1MA @ Cyberjaya 2, Lakefront – 1,932 unit
4. PR1MA @ Hulu Kinta, Perak – 616 unit
5. PR1MA @ Bagan Serai, Perak – 500 unit
6. PR1MA @ Gopeng, Perak – 948 unit
7. PR1MA @ Tapah, Perak – 648 unit
8. PR1MA @ Simpang Pulai, Perak – 376 unit
9. PR1MA @ Alor Setar, Kedah – 1,200 unit
10. PR1MA @ Mukim Sg Ular, Kulim – 499 unit
11. PR1MA @ Tanjung Kling 1, Melaka – 648 unit
12. PR1MA @ Alor Gajah, Melaka – 1,160 unit
13. PR1MA @ Klebang 2, Melaka – 800 unit
14. PR1MA @ Pasir Puteh, Kelantan – 793 unit
15. PR1MA @ Pasir Mas, Kelantan – 965 unit
16. PR1MA @ Sandakan 1, Sabah – 750 unit
17. PR1MA @ Ranggu, Tawau, Sabah – 1,300 unit