Putrajaya, 21 June 2017 – Perbadanan PR1MA Malaysia bercadang untuk meraih dana sebanyak RM5 billion melalui kombinasi program sukuk dan kemudahan kredit pusingan (revolving credit) untuk dijadikan kemudahan tunai jangka sederhana bagi menampung komitmen projek-projek yang sedia ada.
Perolehan dari program yang dirancang itu akan digunakan sebagai modal kerja untuk 89 projek PR1MA yang sudah pun berjalan di seluruh negara, melibatkan 89,449 unit rumah dan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM23 billion.
Maybank Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai bank penyelaras, ejen fasiliti dan juga salah satu Pengatur Utama Bersama / Pengurus Utama Bersama bagi rancangan program menjana modal tersebut. Turut terlibat sebagai Pengatur Utama Bersama / Pengurus Utama Bersama adalah AmInvestment Bank, CIMB Investment Bank dan juga RHB Investment Bank.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Dato’ Abdul Mutalib Alias berkata keputusan untuk meraih dana dari sumber luaran adalah untuk memastikan program kediaman PR1MA, yang merupakan pemaju perumahan terbesar di Malaysia, akan kekal mampan.
“Mandat untuk membina 500,000 unit rumah untuk golongan berpendapatan pertengahan adalah satu komitmen besar yang sudah tentunya memerlukan modal yang juga sangat besar. Sebab itulah, selain daripada peruntukan kerajaan, kita juga perlu melihat kepada pelbagai bentuk pembiayaan luar,” kata beliau selepas majlis menandatangan perjanjian antara PR1MA dan bank-bank yang terlibat dalam program sukuk dan kemudahan kredit pusingan tersebut.
Perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Kewangan II YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Tan Sri Noh Omar.
Tambah Mutalib, projek-projek PR1MA berjalan lancar mengikut jadual dan hampir mencapai separuh dari sasaran menyiapkan 17,000 unit rumah hingga akhir tahun ini.
Sehingga ini, Ahli Perbadanan PR1MA telah meluluskan untuk memajukan sebanyak 267,902 unit kediaman PR1MA di seluruh negara dan dari jumlah itu 139,393 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan.
Setakat ini, 9,791 unit kediaman PR1MA telah dijual di seluruh negara, melibatkan nilai jualan sebanyak RM2.36 bilion.
“Setakat ini kami telah menyiapkan 8,475 unit kediaman dan kami yakin sasaran 17,000 unit rumah itu boleh dicapai,” kata beliau.
Lebih dari 1.42 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan PR1MA di seluruh negara dan dari jumlah itu 166,972 orang telah memohon kediaman PR1MA.