Puan Ezlina Adnan merupakan Ketua Bahagian, Hal Ehwal Korporat di Perbadanan PR1MA Malaysia. Menyertai PR1MA pada September 2014, beliau telah memegang jawatan sebagai Penolong Naib Presiden bagi Unit Penyelidikan dan Pembangunan. Beliau dipertanggungjawabkan untuk menyelaras hal-hal berkaitan kerjasama korporat dengan industri perumahan dan institusi pendidikan di seluruh negara. Beliau turut diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan Polisi Perumahan PR1MA dan juga penerbitan PR1MA Home Buyer/ Home Owner Handbook.
Puan Ezlina telah memulakan kerjayanya sebagai arkitek kanan di Zaini Dubus Richez (ZDR) Sdn. Bhd. Tugas beliau meliputi penyediaan Garis Panduan Rekabentuk Bandar seperti Pelan Induk untuk Khartoum Central Business District di Sudan dan beberapa projek senibina dan hiasan dalaman. Berikutan itu, Puan Ezlina bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Alam Bina di Universiti Malaya (UM) dan juga merupakan konsultan untuk Unit Perundingan Universiti Malaya (UPUM). Tugas beliau sebagai konsultan melibatkan penyediaan Garis Panduan Perancangan dan Pembinaan Masjid di Abu Dhabi, United Arab Emirates serta pengubahsuaian Perpustakaan Utama UM.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari University of Sheffield, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Rekabentuk Bandar dari University of Westminter, United Kingdom. Puan Ezlina juga mempunyai kelayakan profesional Royal Institute of British Architects (RIBA) Part II dari North London University.