Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali telah dilantik sebagai Anggota Perbadanan PR1MA pada 2 Februari 2022.
Beliau mempunyai pengalaman luas di dalam tadbir urus Kerajaan dan telah berkhidmat sebagai kakitangan Kerajaan lebih 30 tahun, di mana karier beliau di dalam Perkhidmatan Awam khususnya Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik telah bermula apabila beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan Malaysia pada Disember 1992. Sejak memulakan tugas di sektor Kerajaan, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki telah berkhidmat di beberapa buah kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, serta menjawat beberapa jawatan kepimpinan seperti Ketua Penolong Setiausaha, Pegawai Khas kepada Menteri dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri. Kualiti kepimpinan beliau yang tinggi telah diiktiraf apabila beliau menerima mandat sebagai Setiausaha Sulit Kanan Kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2006 hingga 2011.
Beliau kemudiannya ditempatkan pula di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan menyandang pelbagai jawatan kepimpinan seperti Perunding Kanan, Setiausaha Bahagian, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak, sehinggalah beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2017 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada tahun 2019. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-15 pada 1 Januari 2020. Setahun kemudian, beliau turut dilantik menjadi Pro Canselor UKM. Beliau juga mempengerusikan pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan, antaranya termasuklah MRL Sdn Bhd, Cyberview Sdn Bhd, Sinergi Perdana Sdn Bhd, Razak School of Government dan Institut Integriti Malaysia.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Nanyang Technological University, Singapura menerusi program kerjasama dengan Massachusett Institute of Technology, Boston. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki pernah menerima beberapa anugerah sebagai pengiktirafan kepada perkhidmatan beliau. Beliau dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Istana Negara. Selain itu, beliau juga dianugerahkan pelbagai pingat termasuk Darjah Indera Mahkota Pahang (Negeri Pahang) pada 2009, Panglima Setia DiRaja (Persekutuan) pada 2011, Seri Mahkota Wilayah (Persekutuan) pada 2018 dan Darjah Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri ke atas kesetiaan dan perkhidmatan kepada Raja dan Negara. Pada tahun 2022, beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu.