YBhg. Datuk Seri Asri bin Hamidin @ Hamidon telah dilantik sebagai Anggota Perbadanan pada 2 Februari 2022.
Seorang yang tidak asing lagi dalam bidang tadbir urus kewangan, Datuk Seri Asri bin Hamidin mempunyai pengalaman yang luas dalam memegang jawatan-jawatan penting dalam pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Badan Berkanun seperti Tenaga Nasional Berhad, 1Malaysia Development Bhd., TRX City Sdn. Bhd., Bandar Malaysia Sdn. Bhd., Inland Revenue Board, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji.
YBhg. Datuk Seri Asri merupakan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan selepas dilantik pada 1 Mei 2020. Beliau memulakan kerjaya dalam Kerajaan sebagai Penolong Pengarah, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994. Setelah menamatkan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi, beliau telah ditempatkan di Kementerian Kewangan dimana beliau telah memegang beberapa jawatan penting seperti Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar).
YBhg. Datuk Seri Asri merupakan seorang graduan Universiti Malaya dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada tahun 1990, Diploma Pentadbiran Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) (1996), Sarjana Ekonomi dari Hiroshima Universiti, Jepun (2006) dan Program Harvard Premier Business Management pada tahun 2010.