YBhg Dato’ Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya telah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia pada 12 November 2021. Sebelum penglibatan beliau bersama PR1MA, YBhg Dato’ Dr. Fathul Bari merupakan Pegawai Khas di Jabatan Perdana Menteri (2016-2017), Penasihat Pelaburan MARA Berhad (2017-2018), Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (2015-2017), Penasihat Agama bagi Tekun Nasional (2013-2016), serta Penasihat Agama bagi Institut Jantung Negara (2009-2010).
Dalam sektor korporat, YBhg Dato’ Dr. Fathul Bari telah dilantik sebagai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa pelbagai organisasi. Antaranya adalah sebagai Ahli Lembaga Pegurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) (2020 hingga kini), Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) (2021 hingga kini), Pengerusi Eksekutif Prime Care Medical Center (2021), Pengerusi Dewan Perniagaan Industri Malaysia-Asia Barat (MyMEC) (2017 hingga sekarang), Ahli Jawatankuasa Pelaburan Majlis Agama Islam Negeri Perlis (2017-2019), Ahli Lembaga Pengarah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (2017-2018), dan Ahli Lembaga Pengarah Felda Global Ventures (Downstream) (2014-2018).
YBhg Dato’ Dr. Fathul Bari telah menamatkan pengajian beliau dalam bidang Sarjana Muda (BA Hons.) Hadis & Pengajian Islam, Universiti Islam Madinah, Arab Saudi pada tahun 2004, dan kemudiannya melengkapkan Sarjana (MA), Usuluddin (Hadis) dari Universiti Yarmouk, Jordan pada tahun 2006. Beliau kemudiannya melengkapkan pengajian Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang Hadis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2013. Beliau juga dikurniakan Darjah Kebesaran Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M) Negeri Kedah (2015) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) Negeri Pahang (2016).